PKPD di 1 lokaliti Sabah, beberapa di Johor, KL

PKPD di 1 lokaliti Sabah, beberapa di Johor, KL

Lokaliti terkesan membabitkan kampung, asrama pekerja kilang dan kediaman PPR.

PETALING JAYA:
Beberapa lokaliti di Sabah, Johor dan Kuala Lumpur akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai Ahad.

PKPD di lokaliti terbabit akan berkuat kuasa hingga 5 Jun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Lokaliti yang terbabit di Sabah adalah Kampung Pagar Sungai Imam di Tawau Sabah, di mana saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap 35 individu mendapati 24 daripadanya positif.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan amat tinggi di lokaliti tersebut,” kata Ismail dalam kenyataan hari ini.

Di Johor, PKPD akan dikuatkuasakan di dua asrama pekerja kilang di Kluang, iaitu asrama di Kilang Oceanic Fabric Mill dan di Kilang Purnabina.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 33 ujian saringan di asrama pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill dan daripada jumlah itu 25 orang didapati positif Covid-19.

“Manakala sebanyak 31 kes positif telah direkodkan di asrama pekerja Kilang Purnabina hasil daripada 99 ujian saringan,” kata Ismail.

Dalam pada itu, Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau di Kuala Lumpur akan turut dikenakan PKPD bagi tempoh yang sama.

Daripada 300 individu disaring di Kampung Batu Muda Tambahan, 76 didapati positif Covid-19, manakala di PPR Kampung Limau, 59 dikesan positif daripada 150 yang disaring.

“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya diasingkan secepat mungkin serta memastikan semua penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan tersebut dan tidak menjangkiti komuniti di luar,” kata Ismail.

Sementara itu, PKPD di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan hingga 5 Jun.

“Sehingga kini, KKM mendapati masih berlaku penularan serta terdapat kes baharu direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut,” kata Ismail.

Berikut adalah perkampungan yang terbabit, dan hasil saringan Covid-19 ke atas penduduknya oleh KKM:

  • Kampung Paya Ular – 94 positif daripada 486 disaring
  • Kampung Bechah Palas – 75 positif daripada 984 disaring
  • Kampung Tualang – 69 positif daripada 307 disaring

Dalam perkembangan lain, Ismail melaporkan seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 532 individu dikompaun, 17 direman manakala seorang lagi dijamin,” kata beliau.

Antara kesalahan terbabit adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (193), tidak memakai pelitup muka (122), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72), tiada penjarakan fizikal (57), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (4), mengadakan rumah terbuka (1) dan lain-lain (101).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.