Mahkamah Persekutuan putuskan rayuan kerakyatan budak 10 tahun 28 Mei ini

Mahkamah Persekutuan putuskan rayuan kerakyatan budak 10 tahun 28 Mei ini

Panel tujuh hakim akan membuat keputusan kes kanak-kanak dilahirkan di Filipina sebelum ibu bapa berkahwin di negara ini.

Kanak-kanak itu mempunyai bapa warga Malaysia manakala ibunya rakyat Filipina.
PUTRAJAYA:
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Mei ini untuk memutuskan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, yang bapanya adalah warganegara Malaysia dan ibunya dari Filipina, bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Peguam Sharimini Thiruchelvam, yang mewakili kanak-kanak itu, dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia, mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi.

Prosiding mahkamah bagi memutuskan rayuan itu akan berlangsung secara telesidang menerusi aplikasi Zoom.

Panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah menangguhkan keputusan rayuan itu pada 4 Feb selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim Thiam Suan.

Bapa kanak-kanak itu telah mengemukakan permohonan kepada JPN untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anaknya namun ditolak tanpa sebarang alasan yang sah pada 2012.

Kanak-kanak itu, yang dilahirkan di Filipina sebelum ibu bapanya berkahwin di Malaysia beberapa bulan kemudian, telah memfailkan saman pemula menerusi bapanya bagi memohon deklarasi bahawa dia adalah rakyat Malaysia.

Turut dimohon ialah perintah bagi memaksa Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil lahir dan kad pengenalan Malaysia kepada kanak-kanak itu.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi telah menolak saman pemula itu selepas memutuskan bahawa kanak-kanak tersebut tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia kerana ibunya bukan warganegara Persekutuan Malaysia ketika dia dilahirkan.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Feb 2019. Dia mendapat kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 15 Okt 2019 bagi membolehkan empat isu perundangan dalam kes itu diputuskan.

Pada prosiding rayuan 4 Feb lepas, peguam Dr Cyrus Das yang hadir bagi pihak kanak-kanak itu berhujah bahawa satu-satunya syarat bagi seseorang yang dilahirkan di luar negara layak mendapat kerakyatan Malaysia ialah bapanya adalah warganegara Malaysia ketika dia dilahirkan.

Bagaimanapun, Shamsul berhujah bahawa kanak-kanak itu tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia mengikut Seksyen 1(b) dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan kerana dilahirkan sebagai anak luar nikah.

Beliau berkata perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut selepas itu tidak mengubah statusnya yang dilahirkan sebagai anak luar nikah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.