
Meskipun mengikut perancangan ia diserahkan pada April tahun ini, projek pangsapuri berservis The Pano yang dibangunkan OCR Property mengalami kelewatan kerana berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan Wong terpaksa membayar pinjaman bagi kediaman yang masih belum didudukinya.
Malah, mengikut terma di bawah syarat pinjamannya, dia sekarang diminta untuk mula membayar pinjaman daripada hanya membayar faedah, sementara menunggu projek berkenaan siap dengan bayaran dari RM700 kepada RM2,300 sebulan.
“Saya agak beruntung kerana masih mempunyai pekerjaan. Bagaimana dengan orang lain yang kediaman mereka turut mengalami kelewatan dan mungkin tidak bernasib baik?,” katanya, yang turut bekerja dalam industri hartanah.
Di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, pemaju perumahan mendapat perlindungan sementara bagi kerja yang tertangguh akibat PKP sejak 18 Mac 2020, termasuklah daripada disaman pembeli atau bank kerana gagal menyiapkan projek pada tarikh dijadualkan siap.
Dalam satu surat kepada Wong, pemaju berkata kes demikian yang berlaku bagi unit pangsapuri dibelinya, dengan tempoh siap sekarang dijangka pada suku pertama 2022, selain turut menunjukkan kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk lanjutan tempoh pembinaan.
“Sekiranya kerajaan memberikan lanjutan kepada pemaju disebabkan Covid-19, di mana adilnya jika pembeli juga boleh mendapatkan moratorium pinjaman,” katanya.
Dengan lanjutan yang diberikan, dia juga tidak dibenarkan membuat tuntutan Rugi Tertentu Dan Ditetapkan atau Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD), satu jalan keluar apabila sesebuah projek kediaman mengalami kelewatan daripada tarikh yang dirancang.
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata, dasar yang tidak sepadan itu menyebabkan pihaknya menerima sejumlah aduan dan pertanyaan yang serupa.
“Masalah seperti ini sebenarnya banyak terjadi tahun ini secara khusus, yang melibatkan situasi di mana pembeli telah menandatangani perjanjian pembelian dan mengharapkan rumah siap seperti diharapkan, tetapi masih tidak dapat memiliki rumah mereka dan diberi pilihan,” katanya.
Beliau berkata, perlu ada keseimbangan dalam melindungi pembeli dan juga pemaju hartanah.
“Kerajaan tidak mempertimbangkan pembeli yang masih perlu membayar ansuran bulanan mereka. Ia (dasar) tidak boleh melindungi satu pihak dan mengabaikan pihak lain,” katanya.