
Ketua Polis Daerah, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, tindakan merobohkan penempatan kumpulan militan berkenaan yang dibuat pagi tadi sudah diputuskan dalam satu mesyuarat membabitkan Pejabat Daerah, RELA dan Jabatan Alam Sekitar semalam.
“Operasi hari pertama ini hanya membabitkan enam rumah di lokasi pertama (Point A), manakala lokasi kedua (Point B) terpaksa ditangguhkan berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Yusoff berkata, operasi pemusnahan di lokasi pertama itu akan membabitkan 30 rumah yang berada kira-kira 300 meter daripada lokasi kedua.
Selasa lalu, media melaporkan polis menembak mati lima anggota kumpulan militan Abu Sayyaf dalam operasi khas yang dijalankan di kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort.
Seorang daripada suspek yang ditembak mati adalah “sub leader” Abu Sayyaf dikenali sebagai Mabar Binda yang dikehendaki kerajaan Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.
Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya, yang semuanya dianggarkan berusia antara 20-an hingga 40-an.
Dalam pada itu, Yusoff berkata, tindakan merobohkan sebelum membakar rumah yang dijadikan sarang kumpulan militan itu adalah usaha menghapuskan kehadiran mereka di daerah berkenaan.
“Tindakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort tidak akan terhenti di sini dan gerakan mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan masih diteruskan,” katanya yang turut menafikan beberapa kenyataan yang tular di media sosial kononnya daerah itu tidak selamat berikutan insiden terbaru itu.