
Mustafa Along, seorang daripada penduduk kampung itu, bimbang ia akan berulang apabila sebuah syarikat pembalakan dikatakan telah diberi lampu hijau untuk membalak di kawasan sekitarnya.
“Pada malam pertama, ia memusnahkan beberapa pokok pisang, dan pada malam kedua, ia meranapkan sebuah rumah, mujur keluarga itu sempat menyelamatkan diri,” kata Mustafa kepada FMT.
Katanya, gajah itu turut merosakkan beberapa buah motosikal.

Penduduk kampung yang terdiri daripada 21 keluarga suku Temiar itu kini berlindung di balai raya. Mereka berpindah ke situ selepas serangan kedua memaksa penduduk lelaki bergilir-gilir berkawal pada waktu malam.
Mustafa berkata, gajah itu akan kembali ke hutan, kira-kira 800m dari kawasan kampung, selepas “mengamuk”.
Katanya, meskipun kegiatan pembalakan sejak sekian lama mencetuskan konflik antara manusia dan hidupan liar, ini adalah kali pertama gajah mengamuk di kampung mereka.

“Sebelum ini, gajah biasanya akan menggunakan laluan mereka di hutan, tetapi setelah pokok ditebang, ia mula menyerang kampung. Saya percaya ia mencari sesuatu untuk dimakan.
“Tetapi (gajah ini) bertindak ganas dan akan menyerang kalau nampak kita,” katanya.

Mustafa, yang juga ketua Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), kini bimbang jika pembalakan dibenarkan, gajah dan hidupan liar lain akan “menceroboh” kampung mereka.
“Habitat mereka semakin kecil,” katanya, sambil menambah, dia akan membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara negeri dengan harapan mereka dapat menawarkan perlindungan kepada penduduk kampung.