‘Saya tabik doktor’, kata pesakit dialisis selepas divaksin

‘Saya tabik doktor’, kata pesakit dialisis selepas divaksin

Penulis sukan kelainan upaya, Satwant Singh Dhaliwal berterima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid atas tindakan segera memastikan dirinya divaksin.

Satwant Singh Dhaliwal tersenyum selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Tampin. (Gambar Satwant Singh)
PETALING JAYA:
Penulis sukan kelainan upaya, Satwant Singh Dhaliwal, yang mengalami kelewatan mendapatkan vaksin Covid-19 kerana menghidap penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis, menerima dos pertama vaksin itu hari ini.

Campur tangan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid, berjaya menyelesaikan masalah itu, beberapa jam selepas FMT membawa perkara itu kepada perhatiannya.

Harlina membuat aturan supaya Satwant mendapat vaksin di Hospital Tampin, setelah beliau secara tidak sengaja dinafikan suntikan itu Selasa lalu.

Beliau turut meminta maaf atas kesilapan kakitangannya di pusat vaksinasi Dewan Perdana.

Satwant berkata: “Saya tabik usaha Dr Harlina membetulkan keadaan dan sikap mulianya menyegerakan pemberian vaksin saya.

Beliau berharap apa yang dilaluinya akan membuka mata pihak bertanggungjawab dalam berurusan dengan orang kelainan upaya (OKU).

Satwant yang mempunyai masalah penglihatan, tinggal di Tampin dan menjalani rawatan dialisisnya di Pulau Sebang tiga kali seminggu, diminta mendapatkan vaksinnya di Hospital Melaka, yang terletak 37km dari kediamannya, sedangkan ia boleh dilakukan di hospital daerah.

Satwant, yang disahkan OKU, tidak diberitahu pesakit dialisis di negeri itu hanya boleh divaksin di hospital kerajaan, sebelum beliau ke pusat vaksinasi itu.

Memburukkan lagi keadaan, Satwant menerima notifikasi mengejutkan melalui aplikasi MySejahtera yang beliau terkeluar daripada program vaksinasi buat sementara kerana “gagal menghadiri janji temu untuk dos pertama”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.