PM pengerusikan mesyuarat khas esok, bincang PKP penuh di seluruh negara

PM pengerusikan mesyuarat khas esok, bincang PKP penuh di seluruh negara

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, akan mempengerusikan mesyuarat khas di Putrajaya esok bagi membincangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan, berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 yang dijadual pada 3 petang itu dijangka turut dihadiri ketua-ketua menteri dan menteri besar.

“Akan dibincangkan esok (PKP penuh) untuk diputuskan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Yaakob, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat itu mengambil kira penularan Covid-19 ketika ini yang mana jumlah kumulatif kes positif hampir mencecah setengah juta.

“Manakala kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita merasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

“Selama ini, kita mengambil langkah dengan mengadakan PKP, PKP pemulihan dan PKP diperketatkan (PKPD) sama ada secara menyeluruh atau bersasar bergantung kepada keadaan untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan kini memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha memerangi Covid-19, dengan menangguhkan perkara kurang penting.

“Kita ambil langkah serius yang mungkin, perkara yang tidak perlu diberikan keutamaan, kita tangguh dulu,” katanya.

Sebahagian besar rakyat mendesak kerajaan melaksanakan PKP secara menyeluruh apabila angka penularan dilihat tidak mencatatkan sebarang penurunan walaupun perintah darurat dilaksanakan sejak Januari lalu.

KKM mencatatkan rekod baharu jangkitan Covid-19 apabila 6,806 kes dilaporkan hari ini. Rekod tertinggi sebelum ini adalah semalam dengan 6,075 kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.