
Naib Canselor UTM, Ahmad Fauzi Ismail, berkata pihak universiti sudah mengeluarkan pekeliling untuk makluman pelajar mengenai perkara itu.
“Kami ada sertakan surat kelulusan untuk mereka semua balik semula ke kampus melalui sistem kami iaitu UTMSmart.
“Tetapi selepas arahan PKPD di UTM Skudai, HEP (hal ehwal pelajar) telah keluarkan pekeliling untuk bagitahu pelajar yang sudah balik ke kampung atau kediaman masing-masing tidak dibenarkan pulang ke kampus,” katanya kepada FMT.
Fauzi berkata, pelajar terbabit akan menjalani kelas dalam talian di kediaman masing-masing, manakala semua operasi membabitkan fizikal dalam kampus tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD.
Beliau berkata, pelajar yang berada di kampus juga tidak dibenarkan keluar dan menjalani kelas dalam talian sahaja.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan kampus UTM akan dilaksanakan PKPD selaras Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ia berikutan terdapat 49 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 346 penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.