Tangguh bicara 2 rakyat Malaysia di Guantanamo akibat Covid-19 ‘boleh diterima’

Tangguh bicara 2 rakyat Malaysia di Guantanamo akibat Covid-19 ‘boleh diterima’

Ketua unit antikeganasan Bukit Aman berkata, penangguhan hingga notis lanjut itu dilakukan dengan niat baik.

Dua suspek warga Malaysia yang ditahan hampir 20 tahun oleh AS di Guantanamo.
KUALA LUMPUR:
Keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menangguhkan perbicaraan dua suspek militan dari Malaysia yang ditahan di Guantanamo akibat Covid-19 perlu dilakukan dengan niat baik, kata Ketua unit antikeganasan Bukit Aman, Normah Ishak.

Katanya, salah bagi sesiapa pun membuat kesimpulan kerana beliau percaya semua pihak berkepentingan dalam kes ini melakukan yang terbaik untuk mempercepatkan perbicaraan.

“Saya tahu mereka juga sedang mengendalikan kes Hambali (suspek militan dari Indonesia). Sebarang penangguhan akibat Covid-19 dilakukan dengan niat baik.

“Saya turut dimaklumkan perbicaraan itu akan membabitkan saksi yang hadir sendiri dan melalui sidang video, yang mana difikirkan lebih sesuai dengan keadaan,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan Mohd Farik Amin dan Mohammad Nazir Lep, bersama Hambali, yang didakwa dalangnya, sepatutnya bermula 22 Feb lalu, tetapi ditangguhkan dengan mahkamah AS menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan.

Menurut laporan, suspek itu didakwa ada kaitan dengan pengeboman di Bali, yang meragut 202 nyawa, dan serangan bom di Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003, yang mengorbankan 12 orang.

Dua rakyat Malaysia itu turut terbabit dalam rancangan al-Qaeda untuk merampas sebuah pesawat dan merempuh Library Tower/US Bank Tower setinggi 73 tingkat di Los Angeles.

Ditanya sama ada kerajaan akan mendesak dua warga Malaysia itu diekstradisi untuk dibicarakan di sini, Normah berkata, tiada sebarang dasar bertulis mengenai isu ini.

“Bagaimanapun, pihaknya sedia menerima warga Malaysia tanpa mengambil kira jenis jenayah mereka, dengan syarat kes mereka sudah melalui proses sewajarnya di negara yang menahan mereka.”

Ahad lalu, pakar antikeganasan, Ahmad El-Muhammady, dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarbangsa (Instac) menggesa pentadbiran Joe Biden tidak menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk terus menangguhkan perbicaraan mereka yang sudah ditahan hampir 20 tahun.

Mereka ditahan di Kem Delta di Teluk Guantanamo, Cuba, oleh AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.