
Beliau berkata, kerajaan negeri kini dalam proses terakhir untuk mendapatkan vaksinnya sendiri dan maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan Menteri Besar, Amirudin Shari selewat-lewatnya minggu depan.
Katanya, setakat ini sebanyak 3,500 majikan sudah menyatakan hasrat untuk membeli vaksin itu.
“Kita sudah di peringkat akhir (dapatkan bekalan vaksin). Bagaimanapun, berapa kos setiap dos vaksin dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan Menteri Besar dalam masa terdekat atau paling lewat minggu depan,” katanya pada sidang media khas Covid-19 Selangor.
Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan program vaksinasinya sendiri sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Inisiatif itu diambil selepas mengambil kira aduan segelintir majikan yang tidak puas hati dengan kadar pengagihan vaksin yang perlahan ketika kes sedang melonjak, selain faktor kira-kira 65% perusahaan kecil dan sederhana dalam negara berada di Selangor.
Mariah berkata, setakat ini seramai 207,000 rakyat negeri itu sudah divaksin dan angka berkenaan jauh lebih rendah dari Kuala Lumpur, Melaka, Labuan dan Perlis.
“Peratusan yang menerima vaksin ketika ini hanya 3.3% daripada populasi rakyat Selangor. Ia jauh lebih rendah daripada beberapa negeri lain sedangkan jumlah rakyat kita lebih tinggi,” katanya.
Program vaksinasi Selangor digerakkan oleh Selgate Corporation, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Kos bagi setiap vaksin yang akan diumumkan minggu depan separuhnya dibiayai kerajaan negeri.