Majikan diarah kemuka SD elak tipu insentif ambil pekerja

Majikan diarah kemuka SD elak tipu insentif ambil pekerja

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, Perkeso menerima 1,758 aduan mengenai bayaran insentif mencurigakan.

M Saravanan berkata, majikan perlu mengeluarkan SD menyatakan jumlah pekerja mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil, jika majikan memalsukan SD itu.
KUALA LUMPUR:
Syarikat atau majikan diminta mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi permohonan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Beliau berkata, syarat tambahan bagi permohonan dana kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bertujuan memastikan tiada ruang untuk pihak ketiga mengambil kesempatan, menipu dan menyalahgunakan dana.

“Dengan syarat tambahan ini, majikan perlu mengeluarkan SD menyatakan jumlah pekerja mereka, maka mereka akan diambil tindakan lebih tegas berdasarkan undang-undang jika memalsukan SD,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Saravanan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu melibatkan dana Penjana kerana Perkeso menerima 1,758 aduan melibatkan bayaran meragukan dan isu bayaran gaji pekerja setakat semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,231 aduan didapati tidak berasas, 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna, manakala baki 187 kes masih dalam siasatan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, Perkeso akan meminta majikan memulangkan semua wang yang dibayar kepada mereka, jika terdapat sebarang unsur pemalsuan.

Katanya, Perkeso turut menerima RM85.1 juta melibatkan lebih 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat di bawah Program Subsidi Upah dan membuat bayaran balik kepada Perkeso.

Sementara itu, Saravanan berkata, Perkeso mengesan satu video minggu lepas mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati ada majikan tidak bertanggungjawab cuba membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah PenjanaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Bagaimanapun, ini merupakan taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

“Pihak majikan juga didapati membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima pegawai Perkeso dengan 36 pekerja menandatangani dan mengesahkan mereka masih bekerja di syarikat terbabit.”

Katanya, kes itu kini disiasat unit khas antipenipuan Cawangan Etika dan Pematuhan Perkeso dan akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa, sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, jika perlu.

Video tersebut juga memaparkan ADUN Sabai, D Kamache dan beliau dinasihatkan segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Saravanan mengingatkan semua pencari kerja agar tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui WhatsApp atau media sosial, majikan pula perlu membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya menerusi laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus dan tidak melalui mana-mana ejen.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mel [email protected] atau talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000 atau 03- 80915300.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.