Jangan canang PdPR jika sekolah pedalaman masih mengemis kemudahan asas, kata pakar pendidikan

Jangan canang PdPR jika sekolah pedalaman masih mengemis kemudahan asas, kata pakar pendidikan

Pensyarah UKM cadangkan KPM mewujudkan bahagian sekolah desa dan pedalaman, perkasakan sekolah luar bandar daif dan tiada kemudahan asas seperti elektrik, capaian internet dan air bersih.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, UKM, Dr Anuar Ahmad .
PETALING JAYA:
Seorang pakar pendidikan mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan bahagian sekolah desa dan pedalaman bagi memastikan pelajar di kawasan itu tidak ketinggalan daripada menikmati kemudahan setaraf di bandar.

Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata sudah tiba masanya unit khas itu ditubuhkan memandangkan daripada 10,220 sekolah, hampir 7,000 sekolah rendah dan menengah kerajaan terletak di luar bandar.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, usaha memperkasakan sekolah luar bandar juga semakin penting berikutan pelaksanaan pembelajaran dalam talian susulan penularan pandemik Covid-19 pada masa kini dengan kebanyakan sekolah di kawasan itu masih kekurangan dari segi kemudahan seperti internet.

“Keadaan sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya sekolah daif ini sangat membimbangkan. Prasarana asas di kebanyakan sekolah masih ketinggalan jauh ke belakang malah ada yang masih tiada kemudahan elektrik dan air bersih.

“Bagaimana kita mahu bercakap mengenai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya sekolah luar bandar masih mengemis untuk mendapatkan akses internet dan kemudahan peranti pembelajaran?

“Suasana bilik darjah yang usang dengan bumbung bilik darjah bocor, meja kerusi rosak dan papan hitam berlubang juga adalah realiti dihadapi murid dan guru di luar bandar sejak sekian lama,” katanya.

Anuar berkata, kedaifan sekolah luar bandar menggalakkan lagi jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar sekaligus meningkatkan kadar keciciran pendidikan.

“Apabila sekolah tidak mempunyai prasarana yang baik, ini tidak menggalakkan motivasi pembelajaran dan anak-anak akan mula hilang tumpuan untuk belajar.

“Jangan berani kata kepada mereka ‘cikgu buat sahaja apa yang boleh’ atau ‘guna saja kreativiti cikgu’. Jangan. Ini bagai sindiran tajam yang menikam buat guru-guru di pedalaman,” tegasnya.

Malah, guru di pedalaman juga perlu berperang dengan persepsi segelintir ibu bapa yang tidak kisah mengenai pelajaran anak-anak mereka.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kewujudan unit khas itu perlu ditumpukan kepada pembangunan semula infra pembelajaran di semua sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya sekolah daif.

“Tidak dinafikan masih ada sekolah di kawasan bandar yang tidak kondusif dan sesak tetapi isu sekolah daif di luar bandar dan pedalaman sangat kritikal dan telah lama berlaku,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menyegerakan program transformasi sekolah luar bandar selain mewujudkan program guru besar dan guru cemerlang mata pelajaran untuk ditempatkan di sekolah luar bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah.

“Sistem pendidikan kita tidak akan maju dan berjaya jika isu kualiti sekolah luar bandar khususnya sekolah daif tidak diselesaikan.

“Setelah 63 tahun kita merdeka, isu sekolah daif ini masih berlanjutan tanpa tindakan yang sistematik dan berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.