Berdepan boikot, Coca-Cola Malaysia harap keamanan di Timur Tengah

Berdepan boikot, Coca-Cola Malaysia harap keamanan di Timur Tengah

Coca-Cola Malaysia berkata, pihaknya sangat prihatin terhadap keganasan berterusan di Israel dan Gaza.

Tangkap layar video yang menunjukkan aktivis PPIM, Nadzim Johan dan pasukannya mengeluarkan tin minuman Coca Cola dari kedai dan memijak bahan pemasaran jenama itu di luar kedai.
PETALING JAYA:
Pengeluar minuman Coca-Cola hari ini berkata, ia kekal neutral berhubung isu keagamaan di seluruh dunia, susulan seruan sebuah kumpulan orang Islam agar produk itu tidak dijual.

Kenyataan itu dibuat Coca-Cola sebagai respons terhadap tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang memulakan kempen boikot terhadap jenama terkenal yang dikatakan berkait Israel, susulan tercetusnya krisis di Semenanjung Gaza.

Coca-Cola Malaysia berkata, pihaknya sangat prihatin terhadap keganasan berterusan di Israel dan Gaza, serta impak buruknya terhadap komuniti di rantau itu.

Produk Coca-Cola sudah dijual di pasaran Palestin sejak 1998, dan ia kini antara majikan terbesar di rantau tersebut, katanya.

Pengeluar minuman itu turut menegaskan, semua produknya dibuat di Malaysia “oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia”, dan pihak pertama yang akan terkesan dengan boikot adalah pekerja tempatan.

Katanya, pihak lain yang akan terkesan termasuk peniaga runcit, pengedar dan pembekal dalam rantaian bekalan di Malaysia.

“Di Malaysia, warisan kami sudah bertapak sejak lebih 85 tahun lalu, dan kami sentiasa dan akan meneruskan komitmen kami untuk menyumbang semula kepada komuniti.

“Kami tidak menyokong atau menentang sebarang perjuangan bermotifkan keagamaan atau memihak kepada mana-mana negara,” katanya.

Kata Coca-Cola lagi, pihaknya dimaklumkan ada individu yang menyeru agar Coca- Cola diboikot berdasarkan berita palsu dan khabar angin yang disebarkan di media sosial, selain tiadanya kefahaman tentang perniagaan dan komitmennya di rantau Timur Tengah.

“Kami mahu melihat keamanan di Timur Tengah, dan di tempat lain juga,” katanya dalam kenyataan.

Aktivis PPIM Nadzim Johan dalam satu video berkata, persatuan berkenaan akan melancarkan boikot besar-besaran dalam tempoh enam bulan akan datang terhadap jenama terkenal, termasuk Coca-Cola, yang dikatakan bersimpati dengan rejim Zionis.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menyambut kempen ini, terutama PRESMA (Persatuan Pengusaha Muslim Malaysia). Coca-Cola jelas telah menyokong rejim (Israel) selama berpuluh-puluh tahun.

“Dengan kesatuan kita, (harapnya) Coca Cola tidak boleh lagi dijual di Malaysia, dan sebagai akibat, terpaksa menutup perniagaan mereka, dengan berbilion-bilion yang telah dilaburkan di sini.

“Antara syarikat lain yang kami cadang untuk boikot adalah Starbucks, HP, dan Puma,” katanya dalam perjumpaan yang turut dihadiri Presiden PRESMA, Jawahar Ali Taib Khan.

Jawahar berkata, PRESMA akan mula menggesa lebih 10,000 ahlinya di seluruh negara untuk tidak menjual minuman Coca-Cola.

Terdahulu, Nadzim dilihat memasuki kedai runcit, mengeluarkan semua tin Coca-Cola dari peti sejuk, dan menurunkan bahan pemasaran yang kemudiannya dipijak dan dibakar di luar kedai, sebelum bergerak ke premis lain untuk melakukan perkara sama.

FMT menghubungi Nadzim dan Jawahar bagi mendapatkan komen lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.