Tindakan LHDN tuntut cukai tertunggak RM9.41 juta bermotif politik, kata Shafee

Tindakan LHDN tuntut cukai tertunggak RM9.41 juta bermotif politik, kata Shafee

Peguam yang mewakili Najib Razak itu berkata tuntutan berkenaan didedahkan kepada umum sebelum dokumen perundangan diserahkan kepadanya.

Muhammad Shafee Abdullah turut berdepan empat tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib Razak tujuh tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang kini berdepan tuntutan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM) berhubung cukai tertunggak berjumlah RM9.41 juta, menggambarkan tindakan itu bermotifkan politik.

“Saman itu didedahkan kepada umum sebelum dokumen perundangannya dikemukakan kepada saya,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Shafee, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dalam beberapa kes sivil dan jenayah, tidak mengulas lanjut.

LHDN dalam tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mendakwa Shafee berhutang dengan kerajaan sejumlah cukai yang belum dibayar selama lima tahun iaitu 2011 (RM434,326.17), 2012 (RM978,854.11), 2013 (RM3.58 juta), 2014 (RM1.73 juta) dan 2016 (RM1.82 juta).

LHDN turut menuntut tambahan 5% nilai faedah dari tarikh penghakiman, dan kos.

Shafee dikenakan penalti kerana dikatakan gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh yang diberikan, mengikut Seksyen 130, Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut akta berkenaan, penalti 10% akan dikenakan ke atas jumlah tertunggak jika baki cukai tidak dibayar menjelang tarikh akhir.

Tambahan 5% akan dikenakan atas jumlah cukai tertunggak dan penalti jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh 60 hari selepas tarikh akhir.

Menurut LHDN, notis penilaian selama lima tahun itu dihantar ke alamat terakhir Shafee yang diketahui di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada 31 Mei 2019, tetapi notis itu tidak pernah dikembalikan semula ke pihak lembaga.

Shafee turut berdepan empat tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib tujuh tahun lalu.

Dua daripada empat pertuduhan dihadapi Shafee berkaitan dengan penyata palsu kepada LHDN pada 2014.

Kes pengubahan wang haram itu ditangguhkan di Mahkamah Tinggi tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.