PKPD di 13 kampung Terengganu, beberapa lokaliti di Sarawak

PKPD di 13 kampung Terengganu, beberapa lokaliti di Sarawak

Perintah akan dikuatkuasakan mulai Khamis hingga 2 Jun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan menguatkuasakan PKPD di lokaliti terbabit dibuat susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 secara mendadak, kata Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) akan dikuatkuasakan di 13 kampung di Besut, Terengganu, serta beberapa lokaliti di Sarawak mulai Khamis.

PKPD di lokaliti berkenaan akan berlangsung hingga 2 Jun, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Ini susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 secara mendadak, tambah beliau.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” kata beliau.

Kampung-kampung yang terlibat di Besut adalah seperti berikut:

  • Kampung Alor Selinsing
  • Kampung Bukit Yong
  • Kampung Tok Motong
  • Kampung Lak Lok Dalam
  • Kampung Lak Lok
  • Kampung Padang Landak
  • Kampung Padang Luas
  • Kampung Padang Luas Hilir
  • Kampung Padang Tapong
  • Kampung Paroh
  • Kampung Kubang Siam
  • Kampung Seberang Jerteh
  • Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 1, 2 & 3, Seberang Jerteh

Di Sarawak pula, lokaliti yang terbabit adalah Rumah Panjang Wun Ak Ering dan SK Bakerkong, di Tanjung Manis, Mukah.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan bahawa seramai 514 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman,” kata beliau.

Kesalahan-kesalahan yang dicatatkan adalah tidak memakai pelitup muka (147), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (127), tiada penjarakan fizikal (62), membawa penumpang berlebihan (13), dan lain-lain (165).

Sementara itu, menerusi Op Benteng, pihak berkuasa keselamatan menangkap 41 orang pendatang asing tanpa izin (PATI), selain merampas dua buah kapal/bot.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.