
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada pukul 7 petang, Ahad selepas aksi videonya tular di media sosial Khamis lepas.
“Semakan mendapati individu berkenaan pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan 1987 pada 2018 dan dikenakan hukuman perintah khidmat masyarakat selama 12 bulan selain lesen memandu digantung selama dua tahun.
“Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Motosikal serta pakaian yang digunakan dalam video itu turut disita untuk siasatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata individu yang merakam video itu masih dikesan dan akan disiasat kerana bersubahat mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran.