
Presidennya Dr Subramaniam Muniandy memberi amaran keputusan negatif palsu mampu mengakibatkan Covid-19 lebih menular dalam komuniti, dan menegaskan kualiti kit RTK-Antigen amat penting untuk membolehkan pengamal perubatan mengenal pasti kes positif.
Subramaniam berkata, pengamal perubatan bimbang tentang keberkesanan kit ujian RTK-Antigen dalam mengesan varian Covid-19 yang lebih baharu, terutama memandangkan laporan mengenai kemunculannya di negara ini.
“Ada kira-kira 17 kit ujian RTK-Antigen yang telah diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), namun tidak semua kualitinya sesuai,” katanya dalam kenyataan.
“Pengamal perubatan bimbang, dengan begitu banyak kit yang ada kini, sama ada audit dijalankan secara tetap sebaik ia diluluskan dan berada di pasaran?
“Kami menggesa Kementerian Kesihatan menerusi MDA supaya segera melakukan audit disusuli audit kerap terhadap semua kit ujian RTK-Antigen yang kini ada di pasaran.”
Subramaniam turut menggesa supaya platform dalam talian diwujudkan untuk membolehkan pengamal perubatan membuat aduan mengenai isu dihadapi ketika menggunakan kit ujian berkenaan.
Bawah SOP ujian saringan Covid-19, mereka yang mendapat hasil ujian positif menerusi saringan RTK-Antigen kemudian perlu menjalani ujian RT-PCR untuk mengesahkannya.
Subramaniam bagaimanapun berkata, saringan RTK-Antigen tetap penting kerana kaedah “pantas dan berkesan” untuk mengesan jangkitan Covid-19.
“Lebih cepat jangkitan dikesan, lebih cepat kita dapat mengasingkan kes positif seterusnya mengekang penularan Covid-19,” katanya.