
Pengusaha kedai tayar itu, Zaharah Yusoff, 37, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada 10 Mei lalu, seorang lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun menaiki kereta jenis Perodua Axia datang ke premisnya memberitahu mahu memasang tayar dan rim baharu.
Difahamkan, selepas selesai proses pemasangan tayar dan rim baharu bernilai RM1,800 itu, lelaki terbabit memberitahu mahu memandu uji keretanya bagi memastikan keadaan tayar dan rim yang dipasang dalam keadaan baik.
“Pada awalnya, pekerja saya tidak membenarkan namun lelaki menyatakan tidak perlu bimbang kerana beg mengandungi telefon bimbitnya ditinggalkan di kedai sementara menunggunya kembali ke kedai.
“Bagaimanapun, lelaki itu terus menghilangkan diri dan tidak kembali ke kedai seperti yang dijanjikan, manakala di dalam beg itu pula hanya terdapat wayar dan bukannya telefon bimbit,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Zaharah berkata, ketika kejadian beliau tidak berada di premis dan difahamkan nombor pendaftaran kereta yang digunakan lelaki terbabit adalah palsu.
“Kejadian ini menjadi peringatan kepada pekerja dan pemilik kedai tayar kereta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya,” katanya.
Satu laporan polis di Balai Polis Kangkar Pulai pada 10 Mei lalu telah dibuat berhubung kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Zaharah mengingatkan pekerja dan pemilik kedai tayar kereta mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku dengan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya.