‘Kantoi’ bawa muatan tanpa kebenaran, pemandu lori buang buluh tepi jalan

‘Kantoi’ bawa muatan tanpa kebenaran, pemandu lori buang buluh tepi jalan

Pemandu bertindak agresif sebelum melarikan diri dan meninggalkan lori selepas didapati membawa muatan tanpa kebenaran.

JPNPk berkata, pemandu lori itu dikesan membawa 1,000 batang buluh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan. (Gambar JPNPk)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori bertindak agresif membuang buluh di tepi jalan sebelum melarikan diri dan meninggalkan lori di simpang masuk Kuala Bikam-Teluk Intan selepas didapati membawa muatan buluh dan kayu jaras tanpa kebenaran.

JPNPk menerusi kenyataan hari ini memaklumkan menerusi pemeriksaan pertama di simpang masuk Kuala Bikam-Teluk Intan, pihaknya mengesan seorang pemandu lori yang membawa 1,000 batang buluh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan.

Difahamkan, dua lori membawa muatan buluh dan kayu jaras tanpa kebenaran disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam kejadian berasingan di Teluk Intan dan Slim River, semalam.

“Berdasarkan siasatan, buluh tersebut digunakan sebagai pancang bagi penanaman sayur. Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Bidor dan pemandu itu kemudian menyerah diri pada 9 malam tadi,” menurut laporan Bernama.

Menerusi pemeriksaan kedua di sekatan jalan raya Plaza Tol Slim River pula, JPNPk menahan sebuah lori membawa 57 batang kayu jaras pelbagai spesies dan mendapati pemandunya yang berumur 53 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan.

“Kedua-dua pemandu lori telah dilepaskan dengan bon jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan. Kedua-dua lori bersama muatan pula kini disita di Stor Rampasan Barang JPNPk,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemandu boleh didakwa mengikut Seksyen 68(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.