
Bekas menteri kewangan itu berkata ia akan membantu sektor hartanah pulih dari perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dan mengurangkan RM40 bilion rumah tidak terjual bagi unit kediaman dan pangsapuri berservis yang direkodkan pada 2020.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata beliau telah bertemu dengan Kementerian Kewangan untuk memperluas insentif yang ditawarkan di bawah HOC.
Namun, Lim mendakwa kempen itu akan berakhir pada 31 Mei selepas Kementerian Kewangan “enggan melanjutkannya hingga akhir tahun ini kerana kutipan duti setem berjumlah RM500 juta dilepaskan”.
“Ini akan menjadi satu lagi janji yang dimungkiri oleh Zuraida,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Guan Eng, HOC terbaharu, yang diperkenalkan semula di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana) tahun lalu, akan mencatatkan sekitar RM36 bilion penjualan pada akhir bulan ini.
“Walaupun terdapat kemungkinan kerugian hasil duti setem sekitar RM500 juta, jumlah ini boleh didapatkan semula menerusi cukai korporat ke atas keuntungan yang diperoleh pemaju dari hasil penjualan RM36 bilion atau lebih lagi,” katanya.
Katanya, sektor guaman dan pembinaan juga akan mendapat keuntungan, sementara pemaju juga dapat membayar gaji kakitangan mereka dan membayar balik pinjaman bank yang menyebabkan peningkatan pinjaman.
“Semua aktiviti ekonomi ini akan menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang menyebabkan lebih banyak cukai dikutip,” katanya.