Beberapa masjid, surau di Selangor langgar SOP PKP, kata JAIS

Beberapa masjid, surau di Selangor langgar SOP PKP, kata JAIS

Ia termasuk bilangan jemaah yang melebihi had dibenarkan, individu tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan agar umat Islam tidak membuat perbandingan terhadap langkah diambil jabatan itu dengan negeri lain kerana situasi dan latar belakang penularan adalah berbeza bagi setiap negeri.
SHAH ALAM:
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati beberapa masjid dan surau di negeri ini melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia masih berlaku.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia termasuk bilangan jemaah yang melebihi had dibenarkan, individu tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan surau.

“JAIS mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan yang tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya,” katanya kenyataan, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negeri itu supaya tidak membuat perbandingan terhadap langkah diambil JAIS dengan negeri-negeri lain kerana situasi dan latar belakang penularan adalah berbeza bagi setiap negeri.

Katanya JAIS berharap umat Islam dapat menghadapi situasi semasa dengan bermuhasabah dan merenung kembali peranan masing-masing sebagai jemaah masjid dan surau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.