STAR lapor polis, nafi dakwaan pemimpin parti sokong Israel

STAR lapor polis, nafi dakwaan pemimpin parti sokong Israel

Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari berkata, catatan Facebook itu dibuat seorang pengguna yang disyaki menggunakan akaun palsu dengan nama Danny Lukas Jr kira-kira 6.30 petang semalam.

Catatan di Facebook yang mendakwa pemimpin STAR menyokong Israel. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) membuat sekurang-kurangnya lima laporan polis di Sabah, selepas menafikan satu catatan Facebook mendakwa pemimpinnya menyokong keganasan Israel terhadap Palestin.

Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari berkata, catatan itu dibuat seorang pengguna yang disyaki menggunakan akaun palsu dengan nama Danny Lukas Jr kira-kira 6.30 petang semalam.

Katanya, parti itu turut memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pemilik akaun terbabit.

“Individu terbabit bukanlah ahli STAR dan dia kerap membuat hantaran di Facebook kononnya mewakili pemimpin STAR dengan tujuan membingungkan masyarakat.

“Kami sentiasa memantau Facebook milik pengguna terbabit dan sebenarnya kami menghormati hak setiap orang untuk bersuara, walaupun ia dilihat memudaratkan parti,” katanya dalam kenyataan.

Dalam catatan yang tular sejak semalam itu, diselitkan gambar Presiden STAR yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan bersama Ketua Penyelaras Parlimen STAR Putatan, Phillip Among yang didakwa menyokong Israel.

Rizal Johari menasihatkan semua penyokong STAR kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan catatan palsu itu.

Rizal menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disifatkan melampaui batas dan tindakannya tidak boleh diterima.

Beliau menasihatkan semua penyokong STAR kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang bukan dikeluarkan parti.

Sementara itu, Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan parti itu menyokong Israel yang disifatkannya sebagai fitnah, berniat jahat dan nakal oleh tentera siber parti lawan.

Katanya, STAR tidak akan mencampuri isu antarabangsa, termasuklah konflik terbaharu di Timur Tengah yang ditangani Kementerian Luar serta Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.