KDN tingkatkan kawalan keselamatan susulan dakwaan Israel sasar pemimpin Palestin di Malaysia

KDN tingkatkan kawalan keselamatan susulan dakwaan Israel sasar pemimpin Palestin di Malaysia

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memandang serius ancaman keselamatan Tel Aviv terhadap pemimpin perjuangan Palestin di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menyeru agar orang ramai bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis dan agensi keselamatan lain dikerah meningkatkan kawalan keselamatan di sebalik laporan rejim Tel Aviv merancang bertindak terhadap pemimpin perjuangan Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, peningkatan kawalan keselamatan itu adalah bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.

“KDN memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, temasuk Malaysia,” katanya.

“KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.”

Beliau meminta orang ramai bertenang dan menegaskan “keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik”.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.

Kenyataan KDN itu dikeluarkan susulan laporan media mendakwa kepimpinan Israel mengarahkan ejen perisikan negaranya iaitu Shin Bet dan Mossad untuk membunuh pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara.

Portal warnews247.gr melaporkan, ejen perisikan itu mensasarkan negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.