Putrajaya digesa sokong penepian ke atas paten vaksin Covid-19

Putrajaya digesa sokong penepian ke atas paten vaksin Covid-19

Charles Santiago membidas kerajaan kerana berdiam diri berhubung usaha mengetepikan sementara perlindungan paten.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, penepian ke atas hak paten membolehkan kerajaan membenarkan penghasilan vaksin berkenaan tanpa persetujuan syarikat farmaseutikal yang membangunkannya.
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti menyokong usaha beberapa negara untuk mengetepikan sementara hak milik intelektual ke atas vaksin Covid-19, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Dalam kenyataan hari ini, pemimpin DAP itu berkata, penepian hak tersebut akan membolehkan kerajaan membenarkan penghasilan vaksin berkenaan tanpa persetujuan syarikat farmaseutikal yang membangunkannya.

“Kita juga melepasi monopoli syarikat pemegang hak milik intelektual dan mengeluarkan vaksin generik serta teknologi lain yang boleh memerangi wabak Covid-19.

“Atas asas ini, jadual pemvaksianan kita boleh berjalan lancar.”

Langkah meminta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengangkat sementara perlindungan paten vaksin Covid-19 turut mendapat sokongan daripada presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Kumpulan penyokong langkah itu berkata, ia akan membantu memperkuat usaha pemvaksinan di seluruh dunia, walaupun pihak yang menentangnya berhujah bahawa langkah itu menghapuskan insentif kewangan kepada syarikat farmaseutikal untuk menambah pengeluaran dan menghasilkan vaksin lebih baharu.

Santiago berkata, dunia berdepan “kebangkrapan moral” apabila keuntungan dijadikan sebab ke mana vaksin akan dihantar, walaupun negara miskin berdepan keadaan terdesak.

Beliau berkata, ia pernah dibangkitkan oleh menteri penyelaras program pemvaksinan kerajaan, Khairy Jamaludin.

“Bagaimanapun malangnya kita tidak mendengar apa-apa respons daripada kerajaan untuk menyokong penepian daripada Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WHO) berhubung peraturan yang melindungi penghasilan vaksin.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus menonjolkan mutu kepimpinannya dalam isu tersebut.

Santiago berkata, lebih 120 negara menyokong penepian itu, termasuk Indonesia, Sepanyol dan China.

“Kami mahu mendengar suara Malaysia sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.