Malaysia suara pendirian teguh terhadap Israel di mesyuarat OIC esok

Malaysia suara pendirian teguh terhadap Israel di mesyuarat OIC esok

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

Hishammuddin Hussein bersama rakan sejawatan dari Indonesia dan Brunei mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan mahu pencerobohan di seluruh wilayah Palestin dihentikan segera. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel, pada mesyuarat tergempar esok.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein, yang akan mewakili Malaysia berkata, kerajaan sentiasa berdiri teguh dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

“Pada mesyuarat itu, saya akan menyuarakan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia supaya OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat tergempar terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-menteri Luar itu diadakan bagi membincangkan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan rejim Zionis di wilayah Palestin, terutamanya di Al-Quds AlShareef.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau berhubung dengan Menteri Luar Negeri II Brunei, Erywan Mohd Yusof dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bagi mencapai kata sepakat antara negara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.

“Secara kolektif, kami bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel menghentikan serta-merta pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.