Kerajaan wujud kumpulan penasihat bantu belia main peranan lebih efektif dalam pembangunan negara

Kerajaan wujud kumpulan penasihat bantu belia main peranan lebih efektif dalam pembangunan negara

Penubuhan Kumpulan Penasihat Anak Muda membolehkan suara beliau lebih didengar oleh kerajaan, kata Muhyiddin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berucap sempena sambutan Hari Belia Negara hari ini.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan menubuhkan Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri seperti yang pernah dicadangkan oleh Majlis Belia Malaysia bagi memperkasa peranan dan memboleh suara belia lebih didengari pada masa-masa akan datang.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif berkenaan adalah baik supaya suara belia di peringkat akar umbi dapat didengar dan seterusnya menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan.

“Pada masa ini proses pemilihan calon sedang dimuktamadkan dan barisan anak muda yang terpilih untuk menganggotai Kumpulan Penasihat Anak Muda ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Melalui platform ini, saya berharap lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Belia Negara hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus membantu generasi muda melalui usaha pemerkasaan belia ke arah pembangunan modal insan yang lestari dan berinovasi tinggi.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dijalankan, khusus untuk warga belia melalui pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Katanya, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif khusus untuk belia di bawah inisiatif ke-19, iaitu Prihatin Belia.

“Kesemua usaha ini adalah bagi memastikan supaya segala dasar dan inisiatif kerajaan sentiasa kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa golongan belia.

“Sebagai langkah untuk mendokong inisiatif pendigitalan, salah satu inisiatif kerajaan ialah menerusi Program e-Belia yang bertujuan menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia.

Melalui program ini, setiap pemohon yang layak boleh menebus kredit e-Wallet sebanyak RM150 melalui aplikasi e-Wallet terpilih.

“Program ini dijangka memberi manfaat kepada 2 juta belia dan mahasiswa yang berumur dari 18 hingga 20 tahun atau menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dengan peruntukan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Beliau berkata, melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerajaan dengan kerjasama MBM juga mengambil inisiatif untuk merangka model pembangunan belia baharu.

“Model ini bertujuan sebagai pelengkap bagi menyokong dan menambah baik mekanisme Dasar Belia Malaysia 2015-2035 sedia ada agar selari dengan dasar dan polisi terkini seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.