Jatuh sungai ketika berkelah, kanak-kanak 4 tahun ditemui lemas

Jatuh sungai ketika berkelah, kanak-kanak 4 tahun ditemui lemas

Mangsa dipercayai terjatuh ke sungai ketika neneknya sedang menyediakan makanan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mangsa lemas ditemui pada jarak 1km dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, semasa jentera bomba dalam perjalanan ke tempat kejadian.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui lemas, selepas terjatuh ke sungai dan dihanyutkan arus deras, ketika berkelah bersama keluarganya di Tambun, Perak pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Izz Auf Mohd Ghazali tiba di kawasan sungai di Kampung Ulu Piah bersama nenek dan abangnya berusia enam tahun.

Ketika neneknya sedang menyediakan makanan sementara menunggu ibu saudara dan bapa saudaranya tiba, mangsa dipercayai terjatuh ke sungai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke tempat kejadian bagi menyelamat kanak-kanak itu sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.49 pagi.

“Semasa jentera dalam perjalanan ke tempat kejadian, pusat gerakan operasi menerima panggilan memaklumkan mangsa lemas ditemui pada jarak 1km dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” kata jurucakap yang dipetik Bernama dalam kenyataan.

Katanya, mangsa disahkan maut oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian, dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.