
Dengan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian sekali lagi berikutan persekitaran wabak yang semakin buruk serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP 3.0) di seluruh negara, murid daripada keluarga kurang berkemampuan berisiko ketinggalan dalam pelajaran.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berkata, kesambungan internet dan akses kepada peranti merupakan isu utama bagi murid dan guru sebelum ini.
Setiausaha Agung NUTP Harry Tan berkata, pelaburan untuk masa depan Malaysia adalah satu-satunya langkah ke maju dengan merujuk kepada dana sebanyak RM2 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk inisiatif Jaringan Prihatin.

Beliau berkata, keluarga B40 paling terkesan dan sesetengah ibu bapa terlalu miskin atau buta huruf untuk mendaftar dalam program bantuan yang ada.
“Pada masa kini, inisiatif digitalisasi adalah kaedah terbaik untuk guru dan murid menjalani program pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“NUTP bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi YES berusaha mendapatkan sebanyak mungkin keluarga miskin dengan anak-anak yang bersekolah untuk memperoleh telefon dan pelan data percuma selama setahun bagi memastikan tiada yang ketinggalan.
“Kita tidak tahu bilakah wabak Covid-19 akan tamat, tetapi kita tidak boleh berdiam diri dan tidak berusaha mendidik pelajar kita di mana pun mereka berada,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata, kumpulan itu memang memperjuangkan inisitiaf seperti itu sejak pembelajaran atas talian dimulakan, sekali gus menyambut baik program Jaringan Prihatin yang dilancarkan baru-baru ini.
Beliau berharap kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, selain melaksanakan inisiatif itu serta-merta bagi membantu murid sesi ini, terutamanya kerana PKP 3.0 akan berjalan sehingga tamat cuti Hari Raya.
“Murid mempunyai baki masa yang terhad di sekolah, terutama mereka yang bakal mengambil peperiksaan SPM dan STPM,” katanya kepada FMT.
Menyuarakan kebimbangan berhubung disiplin diri murid dalam menggunakan kemudahan itu untuk pelajaran, Mak berkata, ibu bapa memainkan peranan utama dalam memantau kemajuan anak-anak mereka.
Program Jaringan Prihatin yang bertujuan membantu keluarga B40 mendapat akses kepada perkhidmatan data internet atau peranti mudah alih akan juga menyaksikan syarikat telekomunikasi menyediakan data percuma bernilai RM1.5 bilion.
Diunjurkan akan membantu kira-kira 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat, penerima boleh memilih antara rebat sehingga RM300 untuk pakej peranti atau pelan data sehingga RM180 sebulan selama 12 bulan.
Pertama kali diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, dana tambahan RM500 juta dimasukkan untuk program Jaringan Prihatin di bawah pakej bantuan Pemerkasa, menjadikan jumlahnya RM2 bilion.
Program itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan 12 syarikat telekomunikasi, termasuk Celcom, Digi dan Maxis.
Pemohon berminat boleh membuat pendaftaran dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka di bawah inisiatif Jaringan Prihatin selewat-lewatnya pada 31 Julai. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.