
Amnesty International Malaysia dan North-South Initiative yang mengakui kepentingan solidariti antarabangsa dalam mendesak supaya dihentikan keganasan terhadap rakyat Palestin, turut memberitahu FMT bahawa mereka percaya sama penting ialah menjamin kesejahteraan pelarian dan pencari suaka yang berada di Malaysia.
Pengarah eksekutif Amnesty Katrina Jorene Maliamauv mendakwa kurangnya keazaman politik bagi menggubal dasar komprehensif berkaitan pelarian di negara ini.
Beliau berkata, keadaan ini disebabkan oleh sikap“pemisahan sosio budaya” serta amalan xenofobia yang digalakkan oleh mereka yang berkuasa.
“Kita perlu memberi perhatian dan bertindak balas terhadap ketidakadilan yang berlaku di semua tempat, dan pada masa sama memberi respons terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di negara kita,” katanya.
Maliamauv berkata, ramai migran di negara ini sentiasa berasa takut ditangkap, sekali gus dinafikan banyak has asasi mereka, termasuk hak kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal yang wajar.
“Kriminalisasi orang asing melalui kuasa luas Akta Imigresen membentuk realiti bukan sahaja migran, tetapi juga pencari suaka di Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, ahli politik daripada semua parti mengutuk keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang memuncak berikutan serangan ke atas Masjid al-Aqsa pada akhir Ramadan lepas.
Kerajaan bekerjasama dengan 40 NGO untuk menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine.
Menteri Besar Terengganu dan 10 anggota exco kerajaan negeri itu masing-masing menyumbang sebulan gaji kepada dana tersebut.
Pengarah North-South Initiative Andrian Pereira berkata, Malaysia belum menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi memberitahu bahawa kerajaan masih boleh meminda undang-undang tempatan bagi menjamin perlindungan untuk pelarian dan pencari suaka.
Beliau berkata, pendirian Malaysia berkaitan keadilan antarabangsa dan hak asasi hendaklah konsisten dengan amalan tempatan.
“Wujud gambaran berlakunya perjuangan dan aktivisme selektif di negara ini. Saling percanggahan dengan amalan hak asasi kita menggambarkan sikap pura-pura.
Felo di Universiti Malaya, Aslam Abd Jalil yang membuat kajian berkaitan pelarian di Malaysia berkata, telah sampai masanya negara ini memberi hak untuk bekerja secara sah kepada pelarian.
“Pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa kerajaan cuba menguatkuasakan peraturan penempatan pekerja yang lebih baik, tetapi malangnya ia hanya terpakai untuk pekerja sah,” katanya.
“Pekerja tanpa dokumen seperti pelarian tidak dilindungi.”
Katanya, langkah itu harus berjalan seiring dengan akses kepada dokumentasi sah, pendidikan dan penjagaan kesihatan awam.
“Pelarian boleh belajar di sekolah persendirian, tetapi dalam banyak kes, ibu bapa tidak berkemampuan kerana mereka tidak dibenarkan bekerja.
“Mereka tidak menikmati pendapatan sebenar dan ini memberi kesan ke atas kehidupan dan pendidikan anak-anak. Ini terpakai ke atas semua pelarian di Malaysia, termasuk rakyat Palestin,” katanya.
Memetik angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB (UNHCR) Aslam berkata, 750 warga Palestin berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat Mac lepas walaupun angka sebenarnya mungkin lebih tinggi.