Hadi gesa jihad bela Palestin, kesal negara Arab jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Hadi gesa jihad bela Palestin, kesal negara Arab jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Presiden PAS itu menggesa seluruh umat Islam bangkit berjihad membela rakyat dan bumi Palestin dengan segala 'harta dan jiwa raga' mengikut kemampuan masing-masing.

Abdul Hadi Awang berkata, jihad mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis dan Palestin lebih mulia daripada jihad mempertahankan tanah air.
PETALING JAYA:
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, kecewa dengan tindakan negara Arab dan Islam mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel yang melancarkan keganasan terbaharu mengorbankan puluhan terhadap penduduk Palestin.

“Walaupun rakyat Palestin gagal dilemahkan oleh negara Arab dan Islam yang telah mengecewakan mereka apabila melaksanakan normalisasi dengan Israel mengikut pengaruh negara Barat, namun semangat mereka tidak luntur untuk terus berjuang.

“Adapun negara Arab dan Islam yang mengecewakan itu berbelanja besar untuk perang saudara bagi membantu musuh secara langsung menghadapi mana-mana negara yang menyokong Palestin. Mereka dibantu negara besar yang mendukungnya di atas nama harta, takhta, mazhab dan kaum,” katanya di Facebook.

Ogos lalu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara Teluk pertama menormalisasikan hubungan dengan Israel yang dilaporkan memberi tekanan kepada negara Arab lain untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, Arab Saudi menegaskan ia tidak akan mengikut langkah UAE menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sehingga Tel Aviv menandatangani perjanjian damai dengan Palestin yang diakui peringkat antarabangsa.

Hadi yang juga presiden PAS, menggesa seluruh umat Islam bangkit berjihad membela rakyat dan tanah air Palestin dengan segala “harta dan jiwa raga…mengikut kemampuan masing-masing, termasuklah dengan berdoa kepada-Nya”.

“Allah mewajibkan umat Islam agar turut serta berjihad mengikut kemampuan masing-masing.

“(Sebagai contoh), terdapat negara yang boleh menghantar bekalan senjata dan pasukan pakarnya, pada masa sama, terdapat juga mereka yang menyumbang dari sudut kewangan dan tenaga pasukan perubatan serta kebajikan.

“Jihad fi sabilillah yang paling besar ialah jihad mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya. Maka, jihad mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis dan Palestin lebih mulia daripada jihad mempertahankan tanah air,” kata beliau.

Hadi berkata, Baitulmaqdis dan Palestin ialah tanah suci bagi umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan Allah apabila tempat itu menjadi lokasi berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi‘raj.

“Maka, kewajipan untuk mempertahankan Palestin dan membebaskannya lebih besar kewajipannya bagi seluruh umat Islam.”

Puluhan warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam keganasan Israel sejak empat hari lalu, dengan rejim Zionis dikesan meningkatkan operasi ketenteraan, termasuk ke sempadan Semenanjung Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.