
Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada 5.30 petang itu, tindakan pemandu e-hailing yang tidak memberi laluan kepada pemandu lori berkenaan mengakibatkan dia berang.
Kata beliau, pemandu lori itu kemudian mengekori kereta pemandu e-hailing sehingga ke lampu isyarat di Jalan Batu Caves.
“Ketika mangsa berhenti di lampu isyarat merah bawah jambatan Batu Caves, tiba-tiba seorang lelaki, disyaki pemandu, turun dari lori berkenaan sebelum datang ke arah kereta dan menendang di bahagian belakang kereta mangsa dan pintu sebelah pemandu sehingga kemek.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki itu kemudian keluar dari keretanya dan bertanyakan tindakan lelaki tersebut. Lelaki (pemandu lori itu) kemudian secara tiba-tiba menumbuk mangsa di bahagian muka, badan dan turut menendang di bahagian belakang dan hadapan badan,” kata Arifai menerusi kenyataan hari ini.
Kata beliau, ketika kejadian, pemandu e-hailing itu sedang membawa penumpang.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata, hidung berdarah, selain lebam di bahagian lengan, dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, kata Arifai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan khianat harta benda.
Kata Arifai, polis juga sedang mengesan seorang saksi penting iaitu penumpang yang berada di dalam kereta mangsa bagi membantu siasatan.