
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, sebagai kerajaan negeri, GPS memiliki pelbagai sumber dan mekanisme yang boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan dan pertolongan kepada rakyat, sekali gus meningkatkan peluangnya dalam memenangi hati mereka.
Ini menyebabkan pembangkang di negeri itu, yang sedia kekurangan penyokong, ahli dan bahagian berbanding GPS, lebih tertekan.
“Walaupun penangguhan pilihan raya memberi lebih masa kepada pembangkang untuk mengatasi masalah mereka, namun had jangkauannya tidak dapat mengatasi GPS dari segi kemampuannya untuk membantu rakyat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sebahagian pengundi sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan Pakatan Harapan (PH) untuk berperanan sebagai pembangkang, terutama selepas ia kehilangan kuasa tahun lepas.
“Ini mempengaruhi tanggapan pengundi di Sarawak terhadap pembangkang, yang kelihatan rapuh dan berpecah,” katanya.
Felo di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, pada masa ini, tidak diragui lagi bahawa GPS, terutama PBB, akan muncul sebagai pemenang dalam PRN.
Walaupun menjangka gabungan kerajaan itu akan memanfaatkan “sumbernya yang banyak” untuk menyalurkan “gimik yang menggembirakan pengundi”, Oh memberitahu FMT bahawa beliau meramalkan GPS akan menang dengan majoriti lebih kecil berbanding 2016.

“Isunya ialah sejauh mana pembangkang boleh megurangkan majoriti GPS. Pembangkang boleh menggunakan masa yang ada bagi mengatasi masalah agihan kerusi,” katanya.
Oh berkata, rundingan agihan kerusi masih merupakan cabaran terbesar bagi pembangkan yang kini berpecah, selain menambah ia adalah isu yang harus diatasi bagi menghindari undi pecah antara parti pembangkang.
“Tidak banyak yang boleh mereka lakukan bagi menarik undi di kawasan luar bandar walaupun dengan lebihan masa ini.
“Mereka (pembangkang) tidak mempunyai kemampuan untuk menandingi sumber yang dimiliki oleh GPS bagi memenangi sokongan pengundi luar bandar.”
Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Jun, namun pilihan raya tidak boleh diadakan sehingga selepas 1 Ogos berikutan perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Menteri Abang Johari Openg baru-baru ini berkata, PRN bukanlah keutamaan kerajaan negeri pada masa ini kerana ia mahu memberi perhatian kepada usaha menyekat penularan wabak Covid-19.
Dengan pilihan raya ditangguhkan sehingga perintah darurat tamat, kerajaan negeri kini mahu menyudahkan program imunisasi Covid-19 yang dijalankan menjelang Ogos.
Walaupun wujud spekulasi bahawa PRN akan diadakan pada Ogos, namun Oh dan Awang Azman menjangka ia akan diadakan lebih lewat tahun ini.
Oh berkata, sukar untuk mengadakan pilihan raya pada Ogos susulan peningkatan kes Covid-19 di Sarawak, selain menambah bahawa penangguhan PRN lebih lama memerlukan pembaharuan perintah darurat, paling tidak di negeri itu.