Tak bertanggungjawab kait kematian Haziq dengan vaksin, kata menteri

Tak bertanggungjawab kait kematian Haziq dengan vaksin, kata menteri

Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau dan Haziq bersama 242 atlet lain menerima vaksin Covid-19 yang sama.

Haziq Kamaruddin antara 243 atlet yang divaksin bersama Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung punca kematian atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin.

“Saya tahu ada pihak cuba mengaitkan kematian Allahyarham dengan pengambilan vaksin. Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya mohon tidak disebarkan berita yang tidak benar,” katanya dalam kenyataan.

Ia menyusul spekulasi mengaitkan kematian atlet itu dengan vaksin Covid-19 di media sosial, khasnya apabila semua atlet Olimpik perlu melengkapkan vaksinasi mereka. Haziq sedang membuat persiapan untuk kelayakan ke Olimpik Tokyo 2021 dari 19 hingga 21 Jun di Paris.

Pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah dan meninggal dunia selepas solat subuh pagi tadi, tetapi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta semua pihak menunggu keputusan bedah siasat.

“Kita kena hormati perasaan ahli keluarga arwah. Seandainya apa-apa kesimpulan mahu dibuat, tunggu bedah siasat, sebarang maklumat (hasil bedah siasat) akan dikongsikan nanti.

“Keluarganya reda dan isterinya rasa sedih, tapi beliau rasa ini satu fitnah (spekulasi punca kematian Haziq).

“Marilah kita menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Jika ada yang kita rasa sekarang, rasailah perasaan sedih dan kesedihan keluarga Allahyarham,” kata Reezal dipetik Bernama selepas melawat keluarga dan isteri Allahyarham, Shahira Abdul Halim di Hospital Kajang hari ini.

Katanya, beliau sudah menghubungi Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk membantu mempercepatkan proses bedah siasat terhadap Allahyarham untuk melancarkan urusan pengebumian.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu keluarga arwah dalam urusan penghantaran jenazah dan pengebumian di Merlimau, Melaka.

Reezal berkata, Haziq tidak mempunyai sebarang penyakit, kecuali gout, dan beliau bersama Haziq serta 242 atlet lain menerima vaksin Covid-19 yang sama.

“Sehari sebelum raya, beliau masih meneruskan latihan bersama jurulatih (Lee Jae-hyung) dan semalam beliau mendapatkan kebenaran untuk pulang ke rumah.

“Pagi ini, selepas keluar dari tandas, arwah menggigil dan tidak sedarkan diri. Beliau terus dikejarkan ke hospital (Kajang) dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi,” katanya yang menyifatkan pemergian Haziq, yang banyak mengharumkan nama negara sejak menyertai program elit pada 2012, sebagai kehilangan buat arena sukan negara.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara berkata, keputusan ujian calitan Covid-19 didapati negatif dan jenazah Haziq akan dibawa ke kampung halaman isterinya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tersusun Serkam Darat di Merlimau.

“Selepas selesai bedah siasat, (jenazah) akan dimandi, dikafankan dan disolatkan di Hospital Kajang dan dijangka akan dibawa pulang ke Melaka malam ini. Pengebumian dijangka disempurnakan malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik edisi London 2012 dan Rio 2016, serta sedang mengejar slot kelayakan untuk Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain merangkul empat emas dan dua perak menerusi acara individu di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.