Suspek tikam bekas abang ipar hingga mati direman 7 hari

Suspek tikam bekas abang ipar hingga mati direman 7 hari

Perintah reman hingga 20 Mei ke atas penganggur berusia 32 tahun itu adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis mengiring seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Ayer Keroh atas tuduhan membunuh bekas abang ipar. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Lelaki yang disyaki membunuh bekas abang iparnya di Kampung Berangan Enam, Jasin pada pagi Aidilfitri semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga 20 Mei ke atas penganggur berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Lee Kim Keat di Mahkamah Ayer Keroh di sini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, suspek ditahan pada 6.30 petang semalam di sebuah masjid berhampiran lokasi kejadian ketika cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang lelaki berusia 36 dilaporkan maut, dipercayai akibat ditikam bekas adik iparnya.

Kejadian berlaku pada kira-kira 7.30 pagi ketika suspek datang ke rumah mangsa untuk mengambil dua orang anak perempuannya yang berusia lapan dan 10 tahun daripada bekas isterinya yang turut tinggal di rumah itu.

Namun dilaporkan berlaku pertengkaran di antara suspek dan bekas isterinya menyebabkan mangsa campur tangan dan cuba menenangkan suspek, sebelum beliau ditikam di rusuk kanan dengan pisau yang dibawa oleh suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.