
Dalam kejadian di Taman Desa Sena, Tasik Gelugor kira-kira jam 11.45 pagi semalam, lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan berang apabila anak perempuannya berusia 19 tahun tidak menutup pintu rumah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu disedari isteri suspek berusia 51 tahun yang cuba menghalang tindakan suaminya, namun beliau turut dipukul.
Katanya, insiden itu menyebabkan isteri dan anak suspek mengalami sakit di badan sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka selepas suspek turut mengugut mahu membunuhnya.
“Menurut siasatan awal, pasangan ini sudah berkahwin selama 20 tahun dan tinggal di rumah teres dua tingkat yang dibeli oleh wanita tersebut (isteri suspek) yang merupakan seorang pegawai kerajaan.
“Suspek adalah bekas tentera dan kini bekerja di sebuah kilang. Dia sudah tidak bercakap dengan isterinya sejak setahun lalu biarpun masih tinggal serumah,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Noorzainy berkata, suspek dikatakan sering memukul isteri dan anak-anaknya apabila berlaku perselisihan faham, namun perkara itu tidak pernah dilaporkan kepada polis.
“Suspek tidak mempunyai masalah kesihatan. Pasangan ini mempunyai masalah dalam rumah tangga apabila tinggal berasingan dengan suspek tinggal di bilik bawah, manakala isterinya di tingkat atas,” katanya selain memaklumkan bahawa polis menahan suspek pada jam 2.10 petang sebaik menerima laporan.
Katanya, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memukul isteri dan anaknya dengan kerusi dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
“Dia kini ditahan mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut,” katanya.