
Profesor perubatan di Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, pembukaan semula perniagaan perlu dipastikan tidak menyebabkan peningkatan semula jangkitan wabak Covid-19.
Beliau berkata, sebagai contoh, makan di restoran berisiko kerana jangkitan wabak itu boleh berlaku melalui titisan kecil cecair apabila bercakap dan perlu diambil kira.
“Dari segi SOP, penting untuk mengurangkan bilangan orang di dalam bangunan kerana ruangan yang terhad bagi mengelakkan titisan ini terperangkap di dalam bilik.
“Kerajaan juga perlu mengalihkan perhatian orang ramai kepada peredaran udara dalam bangunan dengan membuka tingkap dan pintu di rumah, bukannya meneruskan obsesi terhadap aktiviti pembersihan,” katanya kepada FMT.
Jumaat lepas, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS mengeluarkan kemas kini panduan kawalan Covid-19 dengan berkata, individu boleh dijangkiti virus berkenaan jika menyedut udara yang mengandungi zarah yang tercemar.
Ia menyebut bahawa virus bawaan udara boleh memasuki ruang pernafasan dari jarak lebih 1.8m dari individu dijangkiti.
Adeeba berkata, dari sudut jangka panjang, pakar seperti jurutera bangunan, arkitek dan profesional penjagaan kesihatan di tempat kerja hendaklah berbincang dan menggariskan standard baharu sebagai panduan berhubung langkah kawalan virus untuk industry.
Ketua pegawai eksekutif badan pemikir Pusat Galen Azrul Khalib berkata, aktiviti makan di luar bangunan perlu diberi penekanan bagi membolehkan perniagaan mendapat peluang untuk pulih.
Azrul berkata, premis yang mempunyai peredaran yang baik mengurangkan risiko jangkitan kerana aerosol dalam udara tidak bertahan dalam udara.
“Pendedahan kepada jumlah zarah yang kecil kurang berkemungkinan menyebabkan seseorang jatuh sakit, bebanding berterusan virus tersebut.
“Risiko ini lebih tinggi di dalam bangunan. Di luar premis, aerosol meruap dan tersebar dengan lebih mudah,” katanya.
Azrul berkata, pematuhan SOP adalah kunci ke arah sekatan penularan virus.
“Pematuhan adalah kunci. Orang ramai boleh melindungi diri daripada Covid-19 dengan mengekalkan jarak fizikal sekurang-kurangnya 1.8 meter dari orang lain, memakai penutup muka yang meliputi hidung dan mulut, kerap membasuh tangan dan terus berada di rumah jika tidak sihat. Ia tidak berubah,” katanya.