Ramalan KDNK 7.5% tak realistik dengan PKP 3.0, kata Guan Eng

Ramalan KDNK 7.5% tak realistik dengan PKP 3.0, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata tidak realistik bagi Menteri Kewangan menyatakan PKP 3.0 tidak memberi kesan signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi.

Lim Guan Eng berkata, kesan PKP 3.0 bakal jauh lebih teruk.
PETALING JAYA:
Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Putrajaya hingga 7.5% untuk 2021 tidak mungkin terjadi dengan adanya kawalan perintah pergerakan (PKP3.0), kata bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas pengurangan KDNK negara sebanyak 0.5% pada suku pertama tahun ini, Lim berkata KDNK pada suku selebihnya tahun ini perlu mencapai sekurang-kurangnya 10% untuk memenuhi unjuran kerajaan.

Beliau mengimbas kembali ketika kerajaan dipimpin Perikatan Nasional membentangkan belanjawan tahunan pada November lalu, menyatakan harapan pemulihan ekonomi akan menghasilkan pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2021.

“Sekiranya PKP 2.0 selama dua minggu dapat mengubah pertumbuhan KDNK suku pertama yang diharapkan menjadi negatif, maka PKP 3.0, yang dua kali lebih lama daripada PKP 2.0, pasti mempengaruhi pertumbuhan KDNK 10% yang kita perlukan untuk sisa tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata adalah tidak realistik bagi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyatakan PKP 3.0 tidak akan memberi kesan signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi dan terus mengekalkan kadar unjuran 6% hingga 7.5%.

Ahli Parlimen Bagan itu mempersoalkan sama ada itu bermaksud tiada lagi langkah kewangan atau ekonomi untuk membantu rakyat semasa sekatan pergerakan negara kali ketiga ini.

Beliau juga mendesak kerajaan menjelaskan mengapa rakyat tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada inisiatif belanjawan tahunan dan pelbagai pakej rangsangan bernilai RM622 bilion.

“Jumlah RM622 bilion itu seharusnya membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat faedah lebih daripada RM19,000 selama setahun. Jadi di manakah manfaat RM19,000 bagi setiap rakyat Malaysia yang dapat membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.