Kerajaan perlu pandang serius wanita hamil dalam program imunisasi, kata Yeo

Kerajaan perlu pandang serius wanita hamil dalam program imunisasi, kata Yeo

Ahli Parlimen Bakri itu berkata, Putrajaya seharusnya mengumpulkan data klinikal bagi wanita hamil daripada pelbagai jenis vaksin di bawah rancangan perolehan negara.

Bekas menteri, Yeo Bee Yin, yang kini kandungannya sudah mencapai usia 17 minggu menerima suntikan vaksin Covid-19.
PETALING JAYA:
Bekas menteri, Yeo Bee Yin menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap wanita hamil dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memandangkan kumpulan itu lebih berisiko tinggi terhadap virus berkenaan.

Ahli Parlimen Bakri itu dalam kenyataan berkata mengikut senarai PICK, hanya wanita hamil yang bekerja dalam sektor kesihatan dianggap berisiko tinggi, manakala kebanyakan wanita mengandung diletakkan dalam Fasa 3 program itu.

“Dan saya diletakkan dalam Fasa 1 bersama dengan Ahli Parlimen yang lain, namun bagaimana dengan wanita hamil di sektor lain, awam dan swasta yang turut terdedah dengan risiko yang sama?,” soalnya.

Beliau berkata, Putrajaya seharusnya mengumpulkan data klinikal bagi wanita hamil daripada pelbagai jenis vaksin di bawah rancangan perolehan negara, bagi memastikan vaksin yang diberikan kepada populasi wanita hamil adalah selamat.

“Keputusan mesti dibuat berdasarkan data yang berkesan terhadap wanita hamil. Bukan hanya itu, kerajaan seharusnya memutuskan kumpulan mana wanita hamil harus diberi vaksin.

“Setakat ini, kebanyakan mereka dijadualkan menerima suntikan vaksin mengikut kumpulan usia tanpa mempertimbangkan tempoh dan tahap kehamilan,” katanya.

Dalam pada itu, Yeo yang kini kandungannya sudah mencapai usia 17 minggu menggesa kerajaan menyampaikan maklumat yang berkesan kepada semua wanita hamil antaranya mewajibkan pakar ibu hamil menjelaskan kepada pesakit dalam cara yang mudah dengan bahasa yang pelbagai.

“Inisiatif oleh kerajaan seperti ini akan dihargai oleh populasi wanita hamil kerana ia akan memberi ketenangan jiwa kepada mereka, yang kebanyakannya sudah mengalami gejala kehamilan yang sukar, perubahan ‘mood’ dan kerisauan dijangkiti Covid-19 ekoran risiko terhadap komplikasinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.