
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan sejumlah 117 rakyat Malaysia dan enam tanggungan serta seorang pemegang status penduduk tetap.
“Semua mereka selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat sewaan khas Malindo Air,” menurut laporan Utusan Malaysia.
Kenyataan itu memaklumkan, atas dasar hubungan erat antara Malaysia dan Brunei Darussalam, seramai lapan warganegara itu turut dibantu pulang bersama menerusi misi berkenaan.
“Semua penumpang, kru dan pegawai barisan hadapan yang terlibat dalam menjayakan misi ini adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” kata Wisma Putra.
Kementerian Luar berkata, antara SOP digunakan ialah mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 yang disahkan negatif dalam tempoh tidak lebih daripada 72 jam sebelum pelepasan selain pemeriksaan dan tapisan kesihatan yang ketat dilaksanakan Kementerian Kesihatan sewaktu ketibaan.
“Perintah kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan pemantauan tahap kesihatan secara berterusan (dibuat) terhadap semua penumpang termasuk kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terlibat oleh Kementerian Kesihatan sehingga tamat tempoh kuarantin,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein memaklumkan kerajaan melalui kerjasama antara kementeriannya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi rakyat Malaysia termasuk Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi yang berada di wilayah utara dan barat India.
Katanya, keputusan untuk melaksanakan misi repatriasi itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat perwakilan Malaysia di India.
Kelmarin, India mencatatkan 329,942 kes baru Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes mencecah 23 juta membabitkan 250,000 kematian direkodkan.