PKPD di beberapa lokaliti di Pahang, Terengganu, Perak

PKPD di beberapa lokaliti di Pahang, Terengganu, Perak

Ia berikutan peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Pahang, Terengganu dan Perak mulai Khamis serta Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan Kampung Baru Tras, Kampung Sungai Cheetang dan Kampung Sang Lee di Mukim Tras, Raub, Pahang serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pengkalan Hulu, Hulu Perak, mulai 13 hingga 26 Mei ini.

Di Terengganu pula, ia membabitkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3 di Mukim Pelagat, Besut mulai 14 hingga 27 Mei ini.

Beliau berkata, ia susulan peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Katanya, tiga kampung di Mukim Tras mencatatkan 17 kes positif Covid-19 sehingga kini, manakala Mukim Pelagat dan MRSM Pengkalan Hulu merekodkan 52 serta 91 kes positif.

Sementara itu, Ismail berkata, PKPD di lima penempatan di sekitar Sungai Klau, Raub, yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 26 Mei ini.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 331 ujian saringan dan 11 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah penularan jangkitan masih berterusan di kawasan itu.

Beliau berkata, PKPD di Kampung Baru Sungai Chalit dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, serta Kolej Tahfiz Sainz Nurul Aman di Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan ditamatkan esok dan hari ini.

Katanya, jangkitan aktif semakin berkurangan dalam kalangan penduduk berdasarkan penurunan kadar positiviti pada ujian saringan kedua dan ketiga, selain tiada lagi sampel ujian saringan yang menunggu keputusan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 475 individu ditahan melanggar SOP, dengan 454 daripadanya dikompaun dan 21 lagi direman.

Antara kesalahan itu ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (223), tidak memakai pelitup muka (115), tiada penjarakan fizikal (63) dan lain-lain (74).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.