
Tabung Populasi PBB (UNFPA) dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) mendapati kira-kira 60% keluarga tidak mampu membeli makanan mencukupi untuk keluarga mereka, manakala 50% isi rumah sama ada tidak mampu membayar bil utiliti, pinjaman atau sewa rumah tepat pada masanya.
Menurut laporan itu, 25% responden masih perlu mengurangkan pengambilan makanan, sementara lebih kurang 1/3 daripadanya sukar atau sangat sukar menyediakan wang mencukupi kepada anak untuk membeli makanan di sekolah.
Petunjuk kepayahan ini, kata dua agensi itu, mencerminkan situasi pendapatan rendah sedia ada yang dialami keluarga ini sebelum pandemik melanda.
Walaupun keluarga ini sudah kembali kepada tahap pendapatan sebelum krisis, tahap pendapatan sedemikian biasanya menggambarkan keadaan kemiskinan tegar, atau paling tidak, kemiskinan relatif.
“Banyak keluarga terlibat bergelut untuk mencapai taraf hidup baik, walaupun sebelum krisis Covid-19,” menurut laporan tersebut.
Sebahagian besar keluarga ini juga pesimis mengenai prospek masa depan mereka, dengan 81% responden percaya keadaan kewangan mereka tidak akan berubah atau lebih teruk dalam masa enam bulan akan datang.
Walaupun pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berkurangan sejak Disember lalu, katanya, ia kekal pada 12%, iaitu 2.5 kali lebih tinggi berbanding sebelum krisis.
“Hanya 37% ketua keluarga yang menganggur percaya mereka akan dapat pekerjaan sepenuh masa dalam sektor pekerjaan formal dalam masa terdekat.”
Responden juga mempunyai akses terhad kepada jaminan dan perlindungan sosial berasaskan pekerjaan.
Lebih kurang 45% ketua keluarga yang bekerja tidak berdaftar, sama ada dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, 90% langsung tidak mempunyai perlindungan pekerjaan.
Menurut laporan itu, sebahagian besar keluarga terlibat dengan jelas menyatakan mereka mahu bantuan kewangan berterusan, berkala dan boleh diharapkan.
Satu daripada dua keluarga ditinjau merasakan sokongan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak, orang kelainan upaya (OKU) dan orang tua adalah tindakan dasar paling relevan dalam menangani krisis ini.
“Mereka masih memerlukan bantuan bakul makanan. Ini jelas menggambarkan kepayahan hidup yang parah dan berterusan dalam kalangan kebanyakan keluarga terlibat.”
Tinjauan yang dijalankan UNFPA dan UNICEF ini sebahagian daripada projek penyelidikan “Keluarga di Pinggiran”.
Projek tersebut melibatkan 500 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur pada Mei, September dan Disember tahun lalu, serta Mac 2021.
Laporan ini adalah yang terakhir dalam siri ini berdasarkan tinjauan Mac lalu, hampir setahun selepas perintah kawalan pergerakan yang pertama dikuatkuasakan.