Jangan abai sektor keluarga, penjagaan kanak-kanak, kerajaan diberitahu

Jangan abai sektor keluarga, penjagaan kanak-kanak, kerajaan diberitahu

Ahli parlimen pembangkang, wakil persatuan tadika, pengendali kanak-kanak dan pihak berkepentingan lain menuntut penjelasan mengenai SOP yang berubah-ubah.

Tadika dan prasekolah terletak bawah pengurusan Kementerian Pendidikan manakala pusat asuhan kanak-kanak bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin pembangkang dan persatuan mewakili kanak-kanak menggesa kerajaan menangani isu berkaitan sektor penjagaan anak dan pendidikan awal kanak-kanak.

Kebanyakan mereka tidak setuju dengan SOP yang berubah-ubah terutama mengenai penutupan dan kebenaran membuka tadika.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan berkata tidak ada pusat pendidikan swasta, termasuk tadika dan sekolah antarabangsa, yang boleh dibuka dari semalam hingga 6 Jun, walaupun peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelumnya membenarkan premis itu dibuka.

Bagaimanapun, semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pusat jagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP baharu.

Disebabkan SOP bercanggah itu, Ahli Parlimen pembangkang, wakil persatuan tadika, pengendali kanak-kanak dan pihak berkepentingan lain dalam sidang media maya hari ini menuntut penjelasan pihak berkuasa dan mendesak supaya kerajaan tidak mengabaikan sektor dianggap “kurang penting” dibandingkan yang lain.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, mendakwa keputusan tidak konsisten itu berlaku kerana sektor berkenaan diletakkan bawah empat kementerian berbeza.

Menurutnya, tadika dan prasekolah terletak bawah pengurusan Kementerian Pendidikan manakala pusat asuhan kanak-kanak bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Tadika Perpaduan dikendalikan oleh Kementerian Perpaduan, manakala tadika Kemas bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Hannah berkata, setiap kementerian mengeluarkan SOP dan arahan berbeza, seterusnya menyebabkan kekeliruan antara guru, pengendali serta ibu bapa.

Hannah menekankan bahawa “flip-flop” dalam SOP turut meningkatkan risiko penderaan kanak-kanak, terutama melibatkan bayi dan kanak-kanak yang lebih muda.

Katanya, peraturan penutupan tadika dan pusat jagaan kanak-kanak secara tiba-tiba oleh Kementerian Pendidikan menimbulkan rasa panik dalam kalangan ibu bapa.

“(Akibatnya) ibu bapa (mungkin) mengambil tindakan menghantar anak mereka kepada sesiapa sahaja seperti jiran dan pengasuh tanpa izin yang tidak dilatih untuk menguruskan anak kecil.

“Disebabkan itu, ini mungkin meningkatkan risiko penderaan kanak-kanak.

“Namun, kes-kes ini sering kali tidak dilaporkan kerana anak kecil yang belum dapat berbicara, tidak dapat melaporkannya kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, pengusaha tadika dan jagaan kanak-kanak mendesak kerajaan supaya memandang sektor itu sebagai “mustahak” kerana melihat seolah-olah ia diberikan “keutamaan terendah” oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang, Lim Being Suat, mendesak kerajaan mengutamakan guru dan pengendali untuk program vaksinasi Covid-19.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching pula berkata, notis arahan Kementerian Pendidikan mengenai penutupan itu tidak dicabut, walaupun selepas pengumuman perdana menteri semalam.

“Ini akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.