
“Keamanan perlu dikembalikan khususnya kepada rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis yang dilihat dipaksa berpindah sebagai pengusiran dan pembersihan etnik secara terancang oleh pendatang haram Yahudi.
“Ini sebagai punca kemuncak kekejaman dan keganasan secara bersiri pada akhir bulan Ramadan ini,” katanya Pengerusi Razali Idris kepada Bernama.
Kaukus tersebut turut menyifatkan kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Israel meningkatkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin, kata Razali.
Beliau berkata Kaukus mengecam sekeras-kerasnya tindakan susulan tentera Zionis menyerang dan mencederakan lebih 200 rakyat Palestin dengan merempuh masuk Masjid al-Aqsa menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana susulan pengusiran di Sheikh Jarrah.
Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru masyarakat dunia untuk bertindak segera serta bersatu padu dalam menentang kezaliman tentera zionis Israel.
Yang Dipertuanya Nasrudin Hassan berkata Israel tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyerang warga Palestin yang sedang beribadat di bulan mulia ini dan tindakan itu boleh dianggap sebagai satu provokasi semata-mata.
“Tindakan Israel menceroboh hingga mencederakan warga Palestin yang sedang beribadat pada hari-hari terakhir Ramadan tahun ini menunjukkan sikap pengecut sebenar mereka kerana terang-terangan jemaah di Masjid Al-Aqsa ketika itu bukannya ancaman keselamatan untuk mereka.
“Justeru, YADIM mengutuk keras tindakan tersebut yang jelas salah dari segi undang undang serta mencabul hak warga Palestin termasuk wanita dan kanak kanak untuk beribadat,” katanya.
YADIM juga menyeru masyarakat Islam di negara ini untuk sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin agar mereka sentiasa dipelihara daripada tindakan keji rejim itu.