
Kedua-dua pemohon berusia 41 dan 42 tahun itu memfailkan permohonan itu melalui notis usul secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lalu menerusi Tetuan Daim & Gamany.
Dalam permohonan itu, masing-masing menamakan Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang pegawai polis, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.
Pada prosiding pengurusan kes hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Mei ini untuk pendengaran dua permohonan itu.
Kedua-dua pemohon itu diwakili peguam Latheefa Koya, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti bertindak bagi semua responden.
Dalam permohonan itu, kedua-dua lelaki itu memohon perintah yang penahanan mereka pada 21 dan 27 April lalu tidak teratur, di luar bidang kuasa polis Johor serta tidak sah.
Mereka juga mendakwa siasatan di bawah Seksyen 130V sehingga 130ZB Kanun Keseksaan terlampau luas dan merangkumi elemen berbeza serta responden tidak mempunyai asas untuk menahan pemohon di bawah SOSMA.
Mereka mendakwa tiada unsur kesalahan yang membenarkan penggunaan SOSMA dan penahanan mereka tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide kerana antara lain bercanggah Fasal 5 dan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 9 April lalu, 14 individu, termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam Geng Nicky.
Liow, 33, yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis, selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.