
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, enam daripada tuntutan itu difailkan 1MDB dan baki 16 oleh SRC.
Katanya, 1MDB memfailkan writ itu terhadap 25 individu dan sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan asing, manakala SRC memfailkan tuntutan terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan.
Kesalahan itu antara lain termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari; pecah amanah; penipuan; konspirasi untuk menipu; salah nyata penipuan; pelanggaran kewajipan dan pecah amanah secara penipuan; penyalahgunaan kuasa; pelanggaran tugas fidusiari dalam jawatan awam dan bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana.
“1MDB dan SRC menyatakan entiti dan/atau individu ini mendapat pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari 1MDB atau SRC,” kata Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan, Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak terbabit dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan melalui pembabitan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC.
“Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka ke muka pengadilan, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi serta urus niaga 1MDB dan/atau SRC.”
Malaysia sebelum ini menerima RM10.5 bilion (USD2.5 bilion) dari Goldman Sachs pada Ogos 2020, dengan jaminan pemulihan aset tambahan sebanyak RM5.88 bilion (USD1.4 bilion).
Putrajaya juga akan menerima RM2.83 bilion dari AmBank Group dan RM336 juta (USD80 juta) dari Deloitte PLT.
Kementerian Kewangan berkata, semua aset 1MDB yang dipulangkan, termasuk penyelesaian masa depan, akan dimasukkan ke Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah Jabatan Akauntan Negara.
Katanya, penyelesaian itu tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB serta SRC kerana mereka tetap akan didakwa melalui sistem perundangan jenayah dan sivil.