
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tambah beliau, tindakan menutup premis serta merta juga boleh dikenakan.
Menurutnya, tindakan itu terkandung bawah syarat Prosedur Operasi Standard Am dan Garis Panduan Am Kebenaran Beroperasi Serta Pergerakan Pekerja Bagi Syarikat-Syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Syarat itu juga terpakai buat kakitangan yang menjalani pengasingan secara sukarela selepas mendapati keputusan Covid-19 negatif.
“Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, syarat tersebut menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan kepada kuasa yang diberi boleh mengarahkan penutupan premis serta merta.
“Ketidakpatuhan majikan terhadap syarat tersebut hendaklah dilaporkan kepada PDRM,” kata beliau pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin di sini hari ini, menurut laporan Bernama.
Perkara 34 syarat tersebut menyatakan bahawa pekerja yang berada bawah pemerhatian KKM atau bawah perintah pemerhatian di rumah tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan KKM.
Syarat itu juga menyebut pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam melaksanakan pengesanan kontak.
Dalam tempoh dari 2 hingga 8 Mei, 44 kluster direkodkan membabitkan tempat kerja, berbanding 24 kluster dalam tempoh dari 25 April hingga 1 Mei.
Situasi membimbangkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3% bagi tempoh tersebut, kata Adham.
Jumlah pesakit Covid-19 meningkat 50%
Terdahulu, Adham melahirkan kebimbangan mengenai jumlah pesakit disahkan positif Covid-19 dengan gejala yang kini meningkat kepada 50% berbanding hanya sekitar 21% Mac lalu.
Beliau menasihati orang ramai yang mula mengalami gejala seperti demam atau kehilangan deria rasa atau bau, supaya segera mengasingkan diri dan menjalani ujian saringan.
“Anda perlu menjalani pengasingan diri secara sukarela. Jangan pergi dan berjumpa dengan orang lain sebelum anda menerima keputusan ujian Covid-19 anda.
“Sekiranya anda digolongkan sebagai kontak dekat, tolong kuarantin diri anda sekurang-kurangnya 10 hari dari pertemuan terakhir dengan pesakit positif.
“Tinggal di rumah dan tunggu klinik kesihatan daerah menghubungi anda. Sementara itu, lakukan pemeriksaan sendiri seperti yang diperintahkan oleh alat penilaian kesihatan di aplikasi MySejahtera,” katanya.
Mengenai petunjuk kes Covid-19 terbaru, Dr Adham berkata, terdapat 136 kematian akibat Covid-19 untuk minggu 2 Mei hingga 8 Mei iaitu peningkatan sebanyak 43.2 peratus daripada angka 95 minggu sebelumnya (25 April-1 Mei).
Katanya, sari segi penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 hospital di seluruh negara pula kita sudah mencapai 67 peratus, manakala peratusan penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) pula mencapai 68%.
“Jumlah kluster Covid-19 yang masih aktif sekarang adalah 429 kluster termasuk 106 kluster baharu yang dikesan pada minggu 2 Mei hingga 8 Mei, termasuk 44 kluster tempat kerja yang menjadi penyumbang paling tertinggi kes baharu Covid-19 di Malaysia,” katanya.