
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu, sebanyak 16 kematian direkodkan negeri itu setakat ini, dengan lapan kes melibatkan penduduk Besut.
“Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Masih ada empat pesakit warga Besut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Setiap hari, berpuluh kes dilaporkan di daerah Besut dan sebanyak 45 kes baharu direkodkan hari ini manakala lapan kluster aktif sedang menular di daerah ini. Kluster paling besar adalah Kluster D’Lahar dan Kuster Tok Has yang melaporkan ratusan kes positif,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Terdahulu, Besut dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula semalam bagi mencegah penularan Covid-19 yang lebih besar di daerah itu.
Sehubungan itu, Nor Azimi menasihatkan penduduk daerah itu agar terus mengehadkan pergerakan dan mengelak aktiviti perkumpulan dalam jumlah yang ramai.
“PKP di Besut akan gagal jika hanya larangan rentas negeri atau daerah yang diambil berat sedangkan pada masa sama rakyat masih berhimpun di sana sini.
Kata Nor Azimi, keadaan boleh bertambah buruk sekiranya prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan amalan menjaga kebersihan tangan tidak dipatuhi.
Setakat Sabtu, Terengganu merekodkan 71 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 4,799 kes.