
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan tidak boleh lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan.
“Apalagi bila protokol kesihatan tidak lagi berkesan kerana rakyat mula menunjukkan ‘sindrom keletihan’ terhadap SOP.
“Negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti ‘lockdown’ walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 4,519 kes baharu Covid-19 dan 25 kematian semalam.
36,564 adalah kes aktif dengan 393 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 210 memerlukan bantuan pernafasan.
Wad ICU di hospital di negara ini juga dilaporkan hampir mencapai kapasiti penuh.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ICU di Hospital Sungai Buloh hampir penuh dengan pesakit Covid-19.
Khaled berkata, membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian jangkitan ini.
Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira orang kenamaan, ahli politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.
“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan. Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.
“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya.
Khaled berkata, kerajaan juga mesti mempertingkat kebolehgunaan fungsi aplikasi MySejahtera bagi memastikan ia diperlukan oleh Malaysia pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka.
Katanya, keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan kod QR.
“Ia seharusnya sudah berupaya memaklumkan kepada individu sekiranya mereka pernah berada dalam jarak dekat dengan individu positif Covid (proximity notification).
“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google,” katanya.
Dalam kes sporadik, individu positif tidak mengetahui sumber atau tempat di mana mereka mendapat jangkitan.
“Jika digunakan selari dan bersama keupayaan sedia ada MySejahtera, ia menjadi jawapan kepada permasalahan ini,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 6 Jun ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, juga tidak dibenarkan.
“Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.
“Bagaimanapun keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya dalam kenyataan.