Makan dalam premis dilarang semasa PKP, pengusaha restoran alami situasi sukar

Makan dalam premis dilarang semasa PKP, pengusaha restoran alami situasi sukar

Ramai berpendapat tiada alasan bagi larangan tersebut kerana data KKM menunjukkan hanya 0.3% kes Covid-19 berkait restoran.

Satu petisyen dari pengusaha restoran menyatakan sekiranya SOP dipatuhi dengan ketat, risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pelanggan yang makan dalam premis restoran adalah rendah.
PETALING JAYA:
Pengusaha restoran mempersoalkan larangan bagi pelanggan makan dalam premis di kawasan-kawasan bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), ketika sektor ekonomi lain dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Lebih daripada 80 chef, pemilik dan pengurus besar restoran melancarkan petisyen agar makan dalam premis dibenarkan.

Melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, mereka berkata sekiranya SOP dipatuhi dengan ketat, risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pelanggan yang makan dalam premis restoran adalah rendah.

Pengasas bersama myBurgerLab, Renyi Chin, berkata kepada FMT, beliau tidak melihat logik di sebalik larangan tersebut.

“Statistiknya ada. Tak masuk akal kenapa makan dalam premis tidak dibenarkan apabila kita tahu ia bukan penyumbang besar kluster,” kata beliau.

Chin merujuk kepada data Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan bahawa kebanyakan kes Covid-19 dari 22 Feb hingga 2 April dikesan di kilang-kilang (48.1%)

Ini diikuti oleh penularan dalam komuniti (12.6%), tapak pembinaan (11.6%), dan pusat tahanan (5.6%).

Dalam tempoh 39 hari tersebut, restoran hanya menyumbang 0.3% daripada jumlah kes yang direkodkan.

Bagaimanapun, kilang-kilang dibenarkan beroperasi seperti biasa semasa PKP.

“Saya tidak rasa adanya dwistandard, cuma (larangan makan dalam premis) tidak dipertimbangkan dengan jelas,” kata beliau.

Chin berkata, dalam musim hujan kebelakangan ini, tambahan pula dengan kekurangan penghantar makanan, hasil keuntungan beliau menjunam serendah 10% pada hari-hari tertentu.

PKP yang bermula di Kuala Lumpur semalam, bersama Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi di Johor, Taiping di Perak, serta 14 mukim di Terengganu, akan berkuatkuasa hingga 20 Mei.

Selain itu, enam daerah di Selangor – Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang – diletakkan bawah PKP bermula Khamis hingga 17 Mei.

Larangan pelanggan makan dalam premis restoran juga dikenakan ketika PKP kali pertama Mac tahun lalu, namun perdana menteri mengumumkan pelanggan boleh kembali makan di premis bermula 4 Mei.

Ketika PKP 2.0, larangan makan dalam premis dikenakan sekali lagi, bermula 11 Jan, sebelum kerajaan memansuhkan larangan tersebut kurang sebulan selepas itu.

Seorang pemilik restoran di Kuala Lumpur mencadangkan peraturan dibuat bagi menghadkan tempoh masa pelanggan boleh berada di premis makanan.

“Saya rasa, sejam sudah cukup, tetapi ia bergantung kepada jenis makanan yang dihidang,” kata beliau.

“Perlu ada tempoh masa ditetapkan. Mereka yang ingin makan dalam premis perlu mematuhinya.”

Berlainan pula bagi Huen Su San, yang menguruskan 10 premis makanan dan dua dapur pusat, berkata, beliau tiada masalah dengan perniagaannya perlu bergantung kepada perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang.

“Asalkan (PKP) berhasil dan tidak berlanjutan, saya okay,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.