Kes Covid-19 melonjak, Piala Sultan Azlan Shah batal

Kes Covid-19 melonjak, Piala Sultan Azlan Shah batal

Pembatalan itu mendapat perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kejohanan dijangka berlangsung pada April tahun depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Subahan Kamal berkata sukar untuk kejohanan itu diteruskan tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung bulan depan terpaksa dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Subahan Kamal berkata, keputusan itu turut mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kejohanan tersebut dijangka akan berlangsung pada April tahun depan.

Beliau berkata, agak sukar kejohanan yang berlangsung di Ipoh itu diteruskan tahun ini dengan peluang yang ada hanyalah pada hujung tahun tetapi ia tetap bergantung kepada keadaan semasa.

Sementara itu, beliau berkata KHM turut memperkenalkan syarat tambahan baharu bagi pemain yang mahu memohon Sijil Tiada Bantahan (NOC) untuk bermain di kejohanan luar negara.

Menerusi syarat tambahan itu, mana-mana atlet pemain yang mahu beraksi di luar negara perlu mendapatkan NOC daripada persatuan negeri terlebih dahulu sebelum dihantar ke KHM.

“Ada beberapa pemain yang dapat kebenaran dan bekerjasama dengan beberapa kelab individu (bukan persatuan hoki). Tetapi, nampak macam kelab indvidu ini membantu dan memperjuangkan kebajikan atlet.

“Biar saya jelaskan, jika mana-mana pemain ingin beraksi di luar negara, KHM tidak ada bantahan tetapi mereka perlu melalui persatuan negeri masing-masing,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata KHM akan berhubung dengan kelab-kelab dan penganjur di luar negara untuk mendapatkan maklumat tentang tawaran tersebut dan memastikan kelab individu tidak berbuat demikian bagi mengaut keuntungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.